HUTAN LIPUR GUNUNG SENYUM

 

 

SEJARAH

JIKA ingin pengalaman beriadah sambil melancong ke lokasi percutian penuh misteri tetapi penuh keindahan alam semula jadi, Hutan Lipur Gunung Senyum, Temerloh, Pahang adalah lokasi terbaik.
Beberapa bahagian gua yang diterokai turut menawarkan pemandangan indah landskap semula jadi bukit batu kapur dan terletak berhampiran inap desa Felda Jengka 25.

Dari kajian arkeologi, hutan lipur ini dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik.

Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui kisah benar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang memiliki 25 gua dengan pelbagai nama unik dan klasik.

Apakah keistimewaan gunung setinggi 1,594 meter dari aras laut itu sehingga menerima gelaran sedemikian?

Bagi kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang yang bertugas sebagai Jurupandu Gua, Saudi Mohd Yasin, ia bermula ketika  Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad (1863-1892) terpandang sebuah gunung yang belum mempunyai nama.

Sultan Pahang dikatakan bertanyakan pengiringnya nama gunung itu tetapi gagal mendapat jawapan.

“Sebaliknya, pengiring baginda hanya berpandangan antara satu sama lain sambil tersenyum.

“Bagi mengelak rasa malu dengan Orang Besar Pahang yang ada bersamanya, baginda menamakannya Gunung Senyum kerana gelagat pegawai istananya yang asyik tersenyum,” katanya.

Sebahagian daripada 18 gua di Gunung Senyum dan 7 gua di Gunung Jebak Puyuh itu menyimpan pelbagai tumbuhan herba yang mempunyai nilai perubatan komersial.

Saudi yang memiliki pengalaman lebih 15 tahun sebagai pendaki gua di situ, berkata antara gua yang menjadi pilihan pengunjung ialah Gua Tapa, Gua Gudang Kelawar, Gua Kolam Tujuh, Gua Batu Merlap, Gua Kambing, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Gong dan Gua Danau Impian.

Selain itu terdapat juga Gua Mayat, Gua Rangkak, Gua Sisik dan Gua Ular.

Gua Kolam dipercayai menjadi tempat bersiram seorang puteri bunian suatu ketika dulu. Gua Nesan menyimpan 19 pasang batu nesan di dalamnya.

Gua Merlap dikatakan pernah menjadi tempat tinggal orang bunian malah penduduk turut mendakwa mengenai kehadiran batu bersinar yang tergantung di dalam gua itu.

“Antara legenda paling terkenal di Gunung Senyum ialah mengenai kisah Tok Long iaitu seorang lelaki berhati mulia, Tok Long yang dikatakan pernah mengahwini gadis bunian di kawasan gunung ini.

“Akibat melanggar janji, Tok Long gagal menemui kembali isterinya di alam bunian menyebabkannya mengambil keputusan bertafakur di situ sehingga meninggal dunia.

“Kubur di Gua Makam Tok Long dikatakan bukti kisah lama yang diperturunkan dari generasi ke generasi,” katanya.

Gua Terang Bulan mempunyai keistimewaan tersendiri kerana jika bernasib baik, anda dapat menikmati  cahaya yang memasuki gua begitu terang umpama disinari cahaya bulan.

Terdapat juga Gua Taman Satu dan Gua Taman Dua yang menyerupai sebuah taman rekreasi yang terpelihara dan tersusun rapi tumbuh-tumbuhan di sekitarnya.

Di Gua Taman Dua terdapat ukiran unik umpama kuda laut, cendawan dan batu karang yang terhasil daripada hidupan laut jutaan tahun lalu.

Mungkinkah Gunung Senyum dahulu dilitupi lautan kerana kewujudan itu umpama khazanah di di dasar laut?

Kawasan kaki gunung itu juga sesuai untuk meredah hutan. Untuk sampai ke sebuah gunung berhampiran iaitu Gunung Jebak Puyuh, anda perlu berjalan kaki selama 45 minit.

Di sini, anda boleh menemui tumbuhan unik dikenali sebagai Ara Albino  (Ficus Albino) ada 18 banir dengan ketinggian mencecah 16.5 meter manakala Kesenai hanya ditemui di Gua Taman Satu dalam keadaan berpasangan.



Terlanjur ke hutan lipur ini, jangan lupa singgah menginap di homestay Felda Jengka 25 atau chalet bajet bagi melengkapkan percutian anda.

Jika berminat meneroka gua ini, anda perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

INFO

- Dibuka sebagai kawasan rekreasi bermula 14 Julai 1989

- Hutan Lipur Gunung Senyum meliputi kawasan seluas 794 hektar dan menjadi sebahagian Hutan Simpan Jengka 1,2,3 dan 4.

- Terletak antara perjalanan Kuala Lumpur-Kuantan. Pelancong boleh menaiki bas ekspres Kuala Lumpur - Temerloh dan kemudian menaiki kereta sewa untuk sampai ke situ.

- Sementara bas persiaran atau kereta persendirian boleh memasuki hingga ke kaki gunung ini. Kompleks Gunung Senyum di bawah selenggaraan Jabatan Perhutanan Pahang menyediakan aktiviti perkhemahan, aktiviti lasak dengan kemudahan surau, dewan terbuka, chalet, tapak perkhemahan, chalet dan asrama.

- Terletak 20km dari Bandar Jengka, 40km dari Bandar Temerloh, juga boleh dilawati dengan menyeberangi Sungai Pahang dari Pekan Kuala
Krau dan 14km melalui  Kampung Tersusun Rumpun Makmur.

Hubungi: Pegawai Hutan Daerah Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera, 28000 Temerloh, Pahang. Tel. : 09-2962755

SUMBER : http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=658728